ALOR SETAR – Taktik seorang wanita warga Thailand berusia 29 tahun menyembunyikan 18 ketulan ganja dalam beg pakaiannya untuk di bawa ke ibu negara tidak kesampaian apabila dia ditahan polis pada Jumaat lalu.
Wanita tersebut ditahan bersama-sama ganja bernilai RM43,000 itu di sebuah stesen bas di sini kira-kira pukul 8.15 malam pada hari yang sama.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ketulan ganja mampat tersebut dipercayai mahu diseludup ke Kuala Lumpur bagi diserahkan kepada satu sindiket pengedaran dadah di sana.
“Wanita Thai terbabit ditahan di Stesen Bas Shahab Perdana ketika sedang menunggu bas di stesen tersebut dan pemeriksaan keatas dua beg pakaian yang dibawanya menemui 18 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 17.4 kilogram disorok bersama pakaiannya,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Ahmad berkata, berdasarkan siasatan awal suspek didapati baru pertama kali masuk ke negara ini secara sah dan menggunakan stesen bas Shahab Perdana sebagai tempat persinggahan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.
Menurut beliau, wanita itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment