Tuesday, 20 December 2011

Oh! Jangan Bawa Anak Berkelah Di Pantai Timur Johor


JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Selatan (Maritim Malaysia) meminta ibu bapa tidak membawa anak-anak mereka menjalani aktiviti mandi manda di pantai negeri ini memandang musim tengkujuh sedang melanda perairan pantai Timur Johor.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Zukifili Abu Bakar berkata, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam (kmsj) berserta ombak tinggi melebihi 5.5 meter dan ribut petir di kawasan perairan Mersing, Tanjung Sedili, Desaru, Sungai Rengit dan sepanjang pantai Timur Johor dijangka berterusan sehingga 29 Disember ini.
“Kawasan pantai Timur Johor dijangka terdedah kepada kenaikan paras air laut, angin kencang dan laut bergelora yang merbahaya kepada semua aktiviti pantai, nelayan kecil atau laut dalam, perkapalan serta pekerja di pelantar minyak sepanjang pantai Johor Timur.
“Oleh itu kita mengingatkan ibu bapa tidak membawa anak-anak mereka berkelah dan mandi manda atau apa-apa kegiatan rekreasi di pantai memandang ketika ini musim tengkujuh sedang melanda perairan pantai Timur Johor.
“Meskipun ketika ini musim cuti sekolah banyak kegiatan lain bersama keluarga dapat dilakukan yang mana tidak melibatkan aktiviti di pantai yang mengundang bahaya melibatkan kehilangan nyawa,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Zukifili berkata, pihaknya berharap pengguna jalan laut dan orang ramai melayari laman web Maritim Malaysia untuk mendapatkan maklumat keadaan cuaca terkini sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut atau membawa ahli keluarga pergi berkelah dikawasan yang keadaan laut bergelora terutama di kawasan pantai.
Menurutnya, keadaan itu amat merbahaya meskipun pengunjung tahu berenang memandangkan arus laut tidak sama seperti berenang di kolam renang.
Selain itu, katanya, pengusaha resort dan hotel di persisiran pantai dinasihatkan mengambil tindakan tegas bagi melarang pengunjung dari aktiviti mandi manda dan rekreasi di tepian pantai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Maritim Malaysia berharap sebarang kejadian kemalangan dilaut dapat disalurkan dengan segera agar tindakan pantas dapat diambil oleh pasukan Penyelamat,” katanya lagi.
Tambahnya, sebarang maklumat boleh menghubungi terus Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru ditalian 07-2219231 atau Bilik Operasi Maritim Malaysia Wilayah Selatan 07-2199401 hingga 2199410 yang beroperasi 24 jam.
Mengulas lanjut, katanya, sebanyak dua kejadian mati lemas dilaporkan berlaku melibatkan seorang remaja berusia 19 tahun di pantai peranginan Tanjung Balau pada 14 Disember 2011 lalu dan dua remaja masing-masing berumur 14 tahun dan 21 tahun di pantai Desaru semalam.
Jelasnya, mayat mangsa kejadian pertama telah ditemui semalam pada pukul 1 petang sementara usaha mengesan remaja berusia 21 tahun masih dilakukan yang melibat pelbagai agensi keselamatan.
“Kejadian dimaklumkan berpunca daripada pengunjung yang melanggar amaran bahaya mandi laut melalui bendera merah yang dikibarkan,” katanya lagi.

No comments: